KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa kerjasama politik terutamanya bersama-sama Barisan Nasional (BN) dan Bersatu semakin mantap sekali gus berjaya memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional yang menjadi ‘kerajaan hari ini.’

Menurut Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan, tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya

berupa perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin bersama-sama barisan kabinetnya yang terdiri dari semua parti-parti anggota.

“Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekaligus membentuk Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Jelasnya, kerjasama sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh pengerusi dan presiden BN, Bersatu, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan,” kata Takiyuddin lagi.

“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan PN sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri-negeri sehingga ke akhir penggal,” tegasnya.