KUCHING: Kenaikan harga tiket penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan syarikat tambang murah AirAsia pada masa ini memberi kesan kepada kakitangan yang dipanggil bertugas semula selepas terkandas di negeri masing-masing susulan wabak Covid-19.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk syarikat penerbangan, perkhidmatan tersebut juga dihadkan jadual penerbangan selain jumlah penumpang yang dikecilkan.

Selain dibebankan dengan harga tiket yang melonjak naik, corak perjalanan yang tidak menentu juga menimbulkan masalah.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati harga tiket di kedua-dua syarikat penerbangan agak mahal hingga ada yang mencecah lebih RM1,000 seorang untuk penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Sebelum ini, pelanggan bebas mengatur perjalanan dengan harga yang murah melalui tempahan tiket yang dilakukan lebih awal sebelum penerbangan.