MARUDI: Sebuah rumah panjang 13 pintu hampir hangus secara keseluruhan akibat kejadian kebakaran di Kampung Long Selaan Belukon, Hulu Baram, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.07 pagi sebelum mengerahkan pasukan operasi dan penyelamat (SAR) yang bertugas di Long Moh menuju ke lokasi.

Menurutnya, laporan awal daripada penghuni di lokasi, Andrew Bilong, mendapati kediaman terbabit diduduki sekitar 60 orang penduduk kampung.

“Hasil maklumat laporan mengesahkan kebakaran mengakibatkan 12 pintu blok rumah panjang dan satu balai raya telah terbakar,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan terhadap penduduk kampung.

Jarak daripada Marudi ke Long Selaan dianggarkan memakan masa sekitar 10 jam perjalanan.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dengan kekuatan empat anggota kini dalam perjalanan menuju ke lokasi kejadian.

BESAR… Keadaan kebakaran ketika kejadian mengakibatkan 12 pintu rumah panjang dan satu balai raya terbakar 100 peratus