KUCHING: Dua keluarga yang tinggal di dalam kontena kargo usang di kawasan terbiar berhampiran Jalan Batu 10 di sini dipindahkan sementara ke tempat yang lebih selesa.

Keluarga pertama ialah Marikan Abu Seman bersama-sama isteri dan ipar lelaki, manakala keluarga kedua Muhammad Aizul Shafiq Goh bersama-sama isterinya Nurul Syafiqah Bujang serta dua anak perempuan telah tinggal di sana hampir setahun yang lalu.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, usaha untuk mendekati keluarga tersebut dilakukan oleh Ketua Wanita SUPP Cawangan Kecil Batu 7 (Dun Batu Kitang) Suzzilawati Suhaili. “Suzzilawati mendekati keluarga ini untuk menyelidik latar belakang mereka dan berusaha mencari bilik sewa sementara di atas kedai di Batu 7.

“Beliau juga berusaha berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi menyewakan sebuah rumah dengan harga sewa kurang daripada RM150 sebulan kepada keluarga ini,” ujarnya.

Khere Chiang berkata demikian ketika melihat proses pemindahan dua keluarga tersebut di sini, semalam. Beliau turut gembira kerana kedua-dua keluarga tersebut dibantu hasil daripada sokongan orang awam.

“Apabila berada di tempat yang baharu, saya berharap mereka akan menjaga anak-anak yang masih kecil dengan lebih baik di samping mendapatkan bekalan elektrik dan air yang bersih.

“Saya juga berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin membantu keluarga ini dari segi barang keperluan seperti tilam, bantal dan sebagainya,” ujarnya. Khere Chiang juga melahirkan rasa bangga kepada pasukan Wanita SUPP Cawangan Kecil Batu 7 (Dun Batu Kitang) yang dipimpin oleh Suzzilawati kerana membantu keluarga tersebut.

Difahamakan, keadaan keluarga ini sungguh menyedihkan kerana hanya menggunakan pili bomba bagi mendapatkan sumber air untuk mandi dan memasak.Keluarga ini juga terpaksa bergantung dengan lampu suluh ketika waktu malam dan berkongsi dapur untuk memasak.

Bagaimanapun, keluarga tersebut sebelum ini pernah menerima bantuan barang keperluan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.