KUCHING: Kebiasaan baharu dalam kehidupan masyarakat termasuklah cara bekerja sudah pasti akan berubah walaupun Covid-19 berakhir atau mempunyai vaksin satu masa nanti.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais berkata inilah satu pengajaran yang telah masyarakat pelajari daripada wabak berkenaan.

“Untuk memastikan kita tidak terjebak oleh wabak-wabak lain, mungkin sama ada atau lebih teruk lagi daripada Covid-19 di masa akan datang, kita harus melaksanakan amalan berjaga-jaga seperti menggunakan pelitup muka, membasuh tangan, menjaga jarak daripada orang lain dan tidak lagi bersalaman atau berpelukan dan sebagainya.

“Inilah amalan baharu dan akan menjadi budaya baharu dunia termasuk kita di Sarawak,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Justeru, beliau menggalakkan masyarakat supaya menggunakan aplikasi digital dan memanfaatkan teknologi yang ada dalam urusan harian.

Katanya ia amat selaras dengan dasar, visi dan misi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang ingin melihat Sarawak menghayati teknologi dalam apa jua kerjaya.

“Dengan adanya internet dan teknologi, rakyat Sarawak boleh bekerja dari rumah, anak-anak juga boleh belajar dari rumah, bersolat jemaah bersama keluarga di rumah, mencari barangan keperluan termasuk makanan dari rumah dan sebagainya.

“Teknologi membolehkan kita bekerja dengan amat mudah, lebih murah dan cepat dan tepat tidak kira di mana kita berada,” katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Naroden berkata ia tidak harus digunakan oleh masyarakat untuk bergerak bebas seperti dulu walaupun kelonggaran diberikan.

“Selagi ubat Covid-19 belum ditemui, selagi itulah dunia termasuk kita di Malaysia dan Sarawak harus berjaga-jaga.

“Sebab itulah kerajaan melaksanakan kebebasan ini secara berperingkat, mengikut kategori dan mengikut zon sama ada bebas atau tidak daripada wabak itu,” katanya.