SRI AMAN: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas setelah terjatuh di dalam sebuah Loji Rawatan Air berhampiran kolam peladang di Geran Stumbin, di sini, hari ini.

OPERASI… Operasi mencari mangsa kini sedang giat dijalankan

Mangsa dikenali sebagai Vensen Kelly Albis, 14, difahamkan sedang melakukan aktiviti mandi bersama dua temannya di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam sekitar jam 4.40 petang.

“Laporan awal mendapati mangsa dikhuatiri lemas di kawasan kolam berkeluasan tiga hektar hasil maklumat daripada pegawai Jabatan Saliran.

“Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Sri Aman dianggotai oleh PBK I Bangga Baie telah digerakkan ke lokasi,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Susulan itu, operasi mengesan mangsa kini sedang giat dijalankan di kawasan sekitar kejadian bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.