KUCHING: Perhimpunan awam dibenarkan di Sarawak berkuat kuasa 10 Jun ini (esok) dengan maksimum seramai 100 orang sahaja.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia tertakluk kepada saiz keluasan di mana acara itu diadakan.

“Mereka diwajibkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan memastikan kebersihan diri yang tinggi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Selain itu, Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata penjarakan sosial dalam pesawat dikecualikan sepenuhnya bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

Katanya ia termasuk penerbangan umum, operasi jet peribadi dan helikopter selaras dengan pengumuman oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Keputusan ini dibuat kerana penjarakan sosial di dalam pesawat telah menyebabkan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket penerbangan secara drastik misalnya antara Kuching dan Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak akan mematuhi keputusan yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tetapi dengan beberapa penambahbaikan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengikut kesesuaian negeri.

Justeru, katanya semua warganegara Malaysia dibenarkan untuk rentas negeri ke Sarawak dan rentas daerah dalam Sarawak berkuat kuasa 10 Jun ini.

Beliau menambah semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu memohon melalui JPBN dan tidak perlu mengambil sampel (ujian PCR) tiga hari sebelum berlepas ke Sarawak.

“Tetapi mereka perlu mematuhi SOP seperti diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan (http://sdmc.sarawak.gov.my).

“Selain itu, pelawat akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri (udara, darat dan laut) dan pelawat juga dinasihatkan untuk memuat turun Covid Trace Sarawak dan Qmunity,” katanya.

Pada masa sama, Uggah berkata semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara akan dikuarantin wajib selama 14 hari di hotel dan akan diambil sampel Covid-19 pada hari kesepuluh.

Katanya lagi, semua warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh sebulan yang lepas, wajib menjalani kuarantin selama 14 hari dan akan diambil sampel Covid-19 pada hari kesepuluh.

Manakala, beliau berkata semua warga asing yang masuk ke Sarawak yang memiliki permit kerja dan visa yang sah termasuk peserta MM2H diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari, dengan kos kuarantin ditanggung ditanggung sendiri.

Uggah juga berkata semua Person Under Surveillance (PUS) sedang dikuarantin di hotel sehingga hari ini, perlu menghabiskan tempoh kuarantin sehingga tamat, di mana terdapat 2,060 PUS yang masih di 38 buah hotel seluruh Sarawak.