KUCHING: Semua warganegara Malaysia dibenarkan untuk rentas negeri ke Sarawak dan rentas daerah dalam Sarawak berkuat kuasa esok tanpa perlu lagi memohon permit daripada polis.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu memohon melalui JPBN dan tidak perlu mengambil sampel (ujian PCR) tiga hari sebelum berlepas ke Sarawak.

“Tetapi mereka perlu mematuhi SOP seperti diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan (http://sdmc.sarawak.gov.my).

“Selain itu, pelawat akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri (udara, darat dan laut) dan pelawat juga dinasihatkan untuk memuat turun Covid Trace Sarawak dan Qmunity,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Pada masa sama, Uggah berkata semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara akan dikuarantin wajib selama 14 hari di hotel dan akan diambil sampel Covid-19 pada hari kesepuluh.

Katanya lagi, semua warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh sebulan yang lepas, wajib menjalani kuarantin selama 14 hari dan akan diambil sampel Covid-19 pada hari kesepuluh.

Manakala, beliau berkata semua warga asing yang masuk ke Sarawak yang memiliki permit kerja dan visa yang sah termasuk peserta MM2H diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari, dengan kos kuarantin ditanggung ditanggung sendiri.