KUCHING: Satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, melibatkan seorang lelaki warganegara Indonesia sekali gus mewujudkan satu kluster baharu iaitu kluster pekerja asing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pesakit telah dikesan melalui kontak rapat kepada kes positif yang dilaporkan pada 7 Jun lepas.

Katanya ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak adalah sebanyak 556 kes.

“Jabatan Kesihatan Negeri akan melakukan Pengesanan Kes Aktif (ACD) di kawasan tapak pembinaan Jalan Keretapi dan tempat kediaman mereka di Sungai Moyan, Kuching,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Menurut Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pekerja asing terbabit adalah memasuki negeri ini secara sah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa JPBN akan memastikan kawalan sempadan negeri ditutup rapat bagi memastikan tiada kemasukan warga asing secara haram ke Sarawak.

“JPBN akan mengambil tindakan tegas kepada majikan yang disyaki menyeludup masuk warganegara asing ke Sarawak,” katanya.

Sementara, Uggah berkata tiada kes baru yang telah sembuh dan discaj dari hospital, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal seramai 525 orang atau 94.42 peratus.

Manakala, katanya seramai 62 Individu Dalam Siasatan (PUI) baru dilaporkan dan empat kes masih menunggu ujian makmal.