KUCHING: Seramai 50 orang pemandu pelbagai jenis kenderaan telah ditangkap atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk setakat tempoh 1 Januari hingga 9 Jun ini (semalam).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata tangkapan dibuat dalam operasi mabuk yang telah dijalankan di bandar-bandar utama seluruh negeri.

“Daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 45 kes atau 90 peratus kes telah dituduh di mahkamah dan semuanya mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman.

“Manakala selebihnya masih menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara, Sarawak untuk tindakan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara bagi tempoh yang sama tahun lepas, Alexson berkata sebanyak 107 tangkapan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 telah dibuat dalam 73 operasi mabuk yang telah dijalankan.

Katanya kesemua kes telah dituduh di mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman.

“Jumlah tangkapan kes mabuk mengikut Seksyen 45A APJ 1987 bagi tahun 2020 (Januari hingga Jun) menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu sebanyak 57 kes atau – 53.3 peratus,” katanya.

Namun demikian, Alexson berkata tiada kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk direkodkan di Sarawak setakat ini.