KUCHING: Industri fesyen tanah air hari ini menerima berita duka apabila, pereka fesyen Sarawak, Abdul Latip Mohti, disahkan meninggal dunia akibat masalah kesihatan pada jam 2.55 pagi tadi (10 Jun) di Hospital Bintulu.

Beliau meninggal dunia pada usia 49 tahun.

Khabar duka ini disahkan sendiri oleh kakaknya, ketika dihubungi Suara Sarawak menerusi panggilan telefon dan jenazah arwah diuruskan sepenuhnya di Bintulu sebelum dibawa ke Mukah, kemudian disolatkan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Mukah.

Latip yang berasal dari Kampung Kuala Lama Mukah cukup dikenali oleh warga Mukah dan sekitar Sarawak melalui hasil tangannya yang cukup terperinci melalui busana perkahwinan Melanau termasuklah rekaan pelamin serta rekaan kontemporarinya melalui jenama Latip’s Collection.

Pada awal penglibatannya dalam industri fesyen Latip mula terlibat selepas menamatkan pendidikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan belajar menjahit sehingga mahir sepenuhnya dan seterusnya memulakan perniagaan busana perkahwinan Melanau, baju tradisional Melanau dan pelbagai busana lain.

Malah rekaan busananya ini telah berjaya membawanya ke pelbagai pertunjukan fesyen terkemuka negara antaranya Borneo Fashion Week, Alta Moda Fashion Show, Selangor Fashion Week dan banyak lagi.

Malah pada Borneo Fashion Week tahun lalu di Sabah Latip berjaya mengangkat imej ‘Terendak’ satu aksesori masyarakat Melanau, melalui imej yang dipaparkan pada fabrik dan busana kemeja, gaun pendek dan pelbagai lagi rekaan beliau.

Selain beliau juga terdahulu turut terlibat sama dalam penghasilan inovasi terbaharu iaitu batik linut yang sehingga kini merupakan sebagai satu kraftangan asli Melanau.

Sebelum ini, Latip ada menitipkan nasihat khasnya kepada setiap generasi muda untuk terus berbangga dengan budaya dan adat yang ada dimiliki oleh nenek moyang dahulu dan terus berusaha untuk mengekalkannya agar tidak dilupakan dek perubahan zaman.