KUCHING: Sebanyak 1044 karton rokok putih dan 80 karton rokok kretek seludup dirampas daripada sebuah premis di Jalan Tapang Kota Sentosa, di sini.

Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata rampasan dibuat oleh PGA Briged Sarawak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak dalam serbuan ke atas premis terbabit semalam, lebih kurang jam 5.10 petang.

Katanya serbuan dibuat atas maklumat risikan Op Libas, membabitkan seramai 10 orang pegawai dan anggota Cawangan Risik PGA Sarawak bersama empat pegawai SPRM Sarawak.

“Hasil serbuan telah menemui rokok yang disyaki tanpa cukai iaitu sebanyak 1,044 karton rokok putik yang bernilai RM187,920 dan 80 karton rokok kretek yang bernilai RM14,080,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hakemal berkata kesemua rokok yang dianggarkan bernilai sejumlah RM202,000 telah diserahkan kepada Balai Polis Sentosa, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.