KUCHING: Pereka fesyen Sarawak, Allahyarham Abdul Latip Mohti telah berjaya mengetengahkan dan memartabatkan motif seni kaum Melanau dalam rekaan fesyen busananya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanakkanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau cukup bangga dengan pencapaian Latip selama ini.

Menurutnya, pemergian Latip awal pagi semalam merupakan satu kehilangan besar buat dunia fesyen tanah air kerana beliau merupakan pereka fesyen yang sangat disegani.

“Ia merupakan kehilangan besar bagi masyarakat Melanau. Rekaannya melalui pakaian tradisional Melanau telah dipopular dan dimartabatkan melalui rekaan yang kreatif, tetapi masih mengekalkan ciri asas pakaian tradisional kaum Melanau,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Fatimah menyifatkan Latip sebagai anak Melanau yang sangat merendah diri, tidak sombong dan baik budi pekerti dalam pergaulan dengan sesiapa sahaja.

Adun Dalat itu turut mengenali Latip melalui hasil kerja tangan serta penglibatannya dalam acara keramaian termasuk Pesta Kaul yang dijalankan setiap tahun, termasuk acara kebudayaan khususnya melibatkan kaum Melanau di Sarawak.

“Bagi anak muda Melanau, ikuti dan contohilah Allahyarham. Buatlah sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Yakin akan kebolehan diri dan berani mencipta luar dari kebiasaan. Terokai bidang yang anda ceburi bersungguh-sungguh buatlah jaringan dengan dunia luar,” nasihatnya.

Latip disahkan meninggal dunia di Hospital Bintulu semalam akibat masalah kesihatan yang dialaminya.

Legasi melalui Latip’s Collection akan terus kekal menjadi kebanggaan masyarakat Melanau khasnya di Malaysia kerana beliau berjaya membawa budaya Melanau melalui rekaan kreatifnya sebelum ini.