KUCHING: Penguatkuasaan terhadap pematuhan harga jualan runcit petrol dan diesel adalah lebih berkesan dibuat melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, ini kerana AKB memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap mana-mana syarikat minyak atau pengusaha stesen minyak yang didapati menjual melebihi harga yang ditetapkan.

“Di bawah AKB, kegagalan untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan merupakan satu kesalahan dan hukuman penalti yang dikenakan adalah sehingga RM5 juta dengan lesen barang kawalan petrol dan diesel boleh dibatalkan atau digantung oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexander menambah kadar penalti ini jauh lebih tinggi berbanding kadar penalti yang dikenakan melalui penguatkuasaan warta di bawah Perintah Kawalan Harga
dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) sehingga RM1 juta sahaja.

“Selaras dengan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melindungi hak pengguna dan memastikan pematuhan syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak ke atas harga jualan runcit petrol dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan, tindakan penguatkuasaan di bawah AKB dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel, iaitu melalui Mekanisme Penentuan Harga Automatik (APM).