PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan mengadakan pemeriksaan di semua sekolah dalam tempoh dua minggu akan datang bagi memastikan tahap persediaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjelang pembukaan semula sekolah pada 24 Jun ini.

Sambil menegaskan langkah itu bukan untuk menghukum, Menterinya Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pemeriksaan akan dilakukan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

“Jika ada keadaan sekolah tidak mematuhi SOP, kita ada masa dua minggu jadi masih banyak ruang untuk tambah baik … jika ada kelemahan dalam SOP di mana-mana sekolah kita akan turun dan lihat bagaimana kita boleh bantu,” katanya pada sidang media khas perkembangaan pembukaan semula sekolah di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Radzi mengumumkan tarikh pembukaan semula sekolah pada 24 Jun ini, melibatkan 500,444 pelajar dan 2,440 sekolah menengah kebangsaan dan sejumlah sekolah antarabangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempat-tempat yang selalu disentuh pelajar seperti tombol pintu akan sentiasa disanitasi bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar serta pihak yang berkenaan.

Beliau berkata bagi pelajar yang tidak sihat dan menunjukkan gejala, mereka akan dibawa ke bilik isolasi dan ibu bapa mereka  akan dihubungi selain turut dimaklumkan kepada pusat kesihatan daerah.

Mohd Radzi juga berkata waktu mula dan tamat sesi pembelajaran akan dibuat secara berperingkat dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita khuatir sekiranya ibu bapa ambil keputusan hantar sendiri anak-anak ke sekolah sebelah pagi, kalau tidak dilakukan secara berperingkat maka di sekolah itu akan berlaku kesesakan.

“Jadi insya-Allah kita akan umumkan pukul berapa peringkat pertama (waktu masuk sekolah) pukul berapa peringkat kedua masuk dan waktu balik,” katanya.