KUCHING: Abdul Latip Mohti merupakan seorang yang kreatif dan mempunyai idea asli berasaskan kebudayaan dan adat kaum Melanau, jelas Adun Tellain Yusibnosh Balo.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat Melanau.

“Beliau sukar dicari ganti, terutamanya buat Melanau Mukah,” katanya mengenai pereka fesyen yang cukup dikenali di seluruh Mukah, Abdul Latip Mohti melalui Latip’s Collection semalam.

Yusibnosh memberitahu, Abdul Latip merupakan satu- satunya anak Melanau yang mencintai budaya dan busana Melanau, malah hasil tangannya telah memperkenalkan busana kaum Melanau di peringkat kebangsaan.

“Beliau juga merupakan usahawan muda yang berkaliber dan mempunyai identiti yang tersendiri.

“Melalui pembawaan diri yang sederhana dan sikap merendahkan diri, menyebabkan beliau disenangi pelanggan dan kawan-kawannya sentiasa,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Tambahnya lagi, sumbangan beliau begitu besar dalam bidang fesyen ini khasnya kepada negeri Sarawak dan Mukah khususnya dalam mengetengahkan budaya Melanau melalui busana.

“Beliau juga merupakan sumber inspirasi kepada generasi muda yang berada di Mukah.

“Mengikuti jejak seorang usahawan muda yang mempunyai minat terhadap kebudayaan dan busana bangsa, merupakan inspirasi dan contoh berterusan.

“Kami berharap generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang fesyen agar dapat meneruskan jejak Allahyarham untuk terus berkarya dan menghasilkan busana Melanau dan etnik-etnik lain secara lebih kreatif.

“Penghasilan karya yang asli merupakan asas kepada keunikan sesuatu bidang yang diceburi seperti karya fesyen Latip ini,” ujarnya.