BAU: Seorang penganggur berdepan hukuman penjara, sebatan dan denda selepas ditangkap kerana menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah di sini.

Lelaki berusia 27 tahun itu dari Kampung Pelaman Ledan Gumbang di sini ditangkap kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 7.28 gram, yang dianggarkan bernilai RM800.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon, suspek ditangkap di rumahnya di Kampung Pelaman Ledan dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau lebih kurang jam 10.15 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit telah menjumpai satu beg kecil warna hitam di atas meja dan setelah diperiksa di dalamnya terdapat lapan paket plastik kecil lutsinar dan dua keratan straw yang masing-masing berisi dadah syabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan syabu.

Poge berkata suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau akan dipohon reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya sabit kesalahan di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga tiga hingga sembilan sebatan.

Manakala di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.