BETONG: Kontraktor pelaksana projek pembinaan Jambatan Sungai Krian memberi jaminan akan menyiapkan projek tersebut mengikut jadual biarpun kerja-kerja terpaksa dihentikan selama tiga bulan lalu ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif EPR (Kuching) Sdn. Bhd. Syahrir Iman Suib menzahirkan komitmen itu dengan adanya kerjasama JKR Sarawak dan perunding.

“Ya, kami akan kejar semula kerja-kerja yang tertangguh selama tiga bulan akibat pandemik Covid-19. Saya amat yakin dengan adanya kerjasama JKR Sarawak dan pihak perunding.

“Insya-Allah kami akan bekerja keras untuk memastikan projek ini berjaya kerana saya faham hasrat kerajaan dan rakyat yang mahukan ia siap dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan tapak dan pecah tanah projek pembinaan Jambatan Sungai Krian oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Pihaknya kini telah membawa masuk semua bahan yang dibekalkan ke tapak projek.

“Kami jangkakan dengan kelengkapan (jentera) dan bahan sedia ada, kami akan siapkan jambatan ini dalam tempoh masa yang ditetapkan,” ujarnya dan menambah, kerja-kerja di tapak projek bermula semalam.

Sementara itu, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Projek Mohd Masri Abdullah mengakui pihaknya akan mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) baharu sejak tapak pembinaan dibenar dibuka semula.

“Syarikat mempunyai SOP tersendiri yang diluluskan oleh pihak pengurusan iaitu apabila pekerja memasuki tapak pembinaan, mereka harus dipastikan mematuhi SOP.

“Misalnya wajib mengambil suhu badan, mendaftar dalam buku log dan setiap pekerja kita akan diterapkan dengan kesedaran terutama arahan terkini daripada kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sehingga kini jelasnya, keadaan di tapak pembinaan adalah bersih dan setiap SOP akan terus diamal walaupun PKP sudah ditamatkan kelak.

Projek pembinaan Jambatan Sungai Krian menelan kos RM75 juta.