BEIJING: Banjir dan tanah runtuh menjejaskan ratusan ribu penduduk di selatan China dan menyebabkan puluhan orang mati atau hilang, lapor media negara itu pada Khamis.

Cuaca buruk menimbulkan malapetaka di kawasan pelancongan popular yang berbulan-bulan terjejas akibat sekatan perjalanan semasa wabak Covid-19.

Hujan lebat mengakibatkan banjir dan tanah runtuh menyebabkan hampir 230,000 orang terpaksa dipindahkan dan sebanyak 1,300 rumah musnah, lapor agensi berita rasmi Xinhua, memetik Kementerian Pengurusan Kecemasan.

Di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan, enam dilaporkan mati dan seorang hilang, kata Xinhua. Jalan ditenggelami air di destinasi pelancongan terkenal Yangshuo, memaksa penduduk dan pengunjung berpindah menggunakan rakit buluh.

Kerajaan tempatan mengatakan lebih 1,000 hotel dilanda banjir dan lebih daripada 30 lokasi pelancongan rosak. Seorang pemilik hotel perniagaan keluarga memberitahu Xinhua bilik penginapan dipenuhi air hujan hingga 1 meter.

Cuaca ekstrem memberi tamparan hebat kepada sektor pelancongan di wilayah itu, yang masih belum pulih daripada wabak Covid-19.

Kementerian pengurusan kecemasan mengatakan, banjir telah mengakibatkan kerugian langsung lebih 4 bilion yuan (lebih AS$550 juta) terhadap ekonomi, lapor Xinhua.

Di Wilayah Hunan, sekurangkurangnya 13 terbunuh dalam bencana dicetuskan oleh hujan, manakala lapan orang lagi hilang atau terkorban di barat daya wilayah Guizhou, menurut jabatan tindak balas kecemasan tempatan, kata Xinhua.

Hujan lebat mula melanda sejak awal Jun dan menyebabkan air naik pada paras yang berbahaya di 110 batang sungai, lapor Xinhua. Hujan ribut dijangka melanda seluruh bahagian selatan dalam beberapa hari akan datang.

Foto AFP

Foto AFP

Foto AFP