MIRI: Seekor buaya sepanjang enam kaki berjaya ditangkap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah di Kampung Ogus Suai, di sini, hari ini.

Buaya terbabit berjaya ditangkap menggunakan perangkap jerat yang telah dipasang berhampiran kawasan kebun di tepi sungai sekitar jam 9.50 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seramai lima anggota telah dikerahkan ke lokasi bagi menangkap reptilia berkenaan.

“Pasukan operasi menerusi khidmat khas telah berjalan pada jarak setengah kilometer untuk sampai ke lokasi.

“Buaya terbabit berjaya ditangkap dan diikat bagi memastikan ia tidak berbahaya”, jelas kenyataan itu, hari ini.

Susulan itu, tambahnya, buaya tersebut seterusnya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.