KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh ditangguhkan sekiranya keadaan darurat diisytiharkan tetapi hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berhak memutuskan perkara itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jika keadaan masih terkawal, PRN akan diteruskan tetapi sebaliknya apabila merujuk kepada pandemik Covid-19.

“Tempoh Dun Sarawak akan tamat pada tahun depan dan kita juga ingin PRN diadakan sebab GPS mahu mandat baharu daripada rakyat.

“Bagaimanapun, sama ada meneruskan PRN Sarawak atau tidak pada tahun depan, ia adalah keputusan penuh SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menambah, dalam tempoh setahun ini, wakil rakyat harus membuat persiapan sewajarnya sehingga ke peringkat akar umbi.

“PRN ini umpama satu perlumbaan dan latihan yang jitu diperlukan sebelum pertandingan dan bukannya dilakukan pada saat akhir.

“Oleh itu, saya menggesa wakil rakyat untuk membuat persiapan sehingga ke peringkat akar umbi,” tegasnya.

Jelasnya, bagi GPS, perjuangan diteruskan dengan sentiasa mengutamakan Sarawak. Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengulangi yang GPS merupakan rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Namun, kita merupakan sebuah parti yang mempunyai identiti berbeza dan bukannya menyertai PN.

“Kita juga amat bertuah kerana Kerajaan PN melibatkan ahli parlimen GPS dalam pengurusan tinggi Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.