EKORAN penularan wabak Covid-19, banyak syarikat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta perniagaan mikro terpaksa mengehadkan pengambilan pekerja. Ini kerana tidak ada operasi atau operasi diberhentikan sementara selama beberapa bulan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Lima hari yang lalu, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad mengumumkan bakal menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin, 172 juruterbang dan 50 jurutera dalam usaha mengecilkan operasi.

Menurut pensyarah kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Rabeatul Husna Abdull Rahman, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia merupakan krisis kesihatan yang mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Manakala, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkata, dalam 3.3 bilion tenaga kerja di peringkat global, empat daripada lima pekerja terjejas akibat penutupan premis sama ada separa atau sepenuhnya. Trend pengangguran ini berlaku apabila pihak majikan tidak mampu membayar upah pekerja selain terpaksa membayar pelbagai kos lain yang lebih penting seperti sewa, bil, penyelenggaraan mesin, bahan mentah dan sebagainya.

Walaupun kini kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bantuan sama ada dari sudut kewangan, bantuan makanan, subsidi, potongan harga, diskaun dan sebagainya, wujud persoalan adakah rakyat mampu meneruskan kelangsungan hidup tanpa pekerjaan.

Kita mengakui bahawa memiliki pekerjaan itu adalah sesuatu yang harus demi mendapatkan sumber pendapatan atau rezeki. Namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berusaha mendapatkan sumber kewangan. Terdapat pelbagai cara untuk kita mengaut sumber pendapatan semasa tempoh genting Covid-19.

Salah satu daripadanya ialah menjual barang atau makanan secara dalam talian, trend yang kini semakin popular dan menjadi pilihan pelanggan. Sekiranya ketua keluarga memainkan peranan penting dan berasakan beliau perlu bertanggungjawab menyara isteri dan anak-anak, kegigihan mencari sumber pendapatan adalah teramat penting.

Pemikiran ‘hanya bergantung kepada bantuan’ atau ‘sekadar cukup makan’ perlu diubah supaya di kemudian hari kita tidak terbeban dan tersepit akibat halangan kewangan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sektor ekonomi seolah-olah lumpuh apabila hampir seratus peratus aktivitinya dihentikan sementara.

Ini menjadikan ramai pekerja tidak bekerja atau dipaksa cuti tanpa gaji. Keadaan ini mampu menjadi isu kepada kerajaan, justeru pentadbiran negara gigih merangka jalan membantu rakyat mendapatkan semula pekerjaan atau menyediakan peluang baharu pekerjaan.

Dibimbangi kerana peluang mendapatkan pekerjaan semakin tipis, rakyat semakin terdesak,sekali gus menyebabkan meningkatnya kadar jenayah. Mereka yang terdesak mampu memilih untuk mencuri, merompak, memeras ugut, menculik dan sebagainya untuk kelangsungan hidup. Malah kes keganasan rumah tangga juga berkemungkinan akan meningkat dek tekanan. Justeru, kerajaan perlu serius menangani cabaran ini.

Biar terdesak, rakyat perlu diajar bersabar, berfikiran positif dan percaya bahawa rezeki ada di mana-mana. Akal fikiran dan emosi perlu diselaras agar tidak memberi kesusahan kepada diri sendiri pada masa akan datang. Jangan bertindak secara terburuburu, berfikir panjang dan jangan mengikut perasaan.

Pulihkan ekonomi diri dan keluarga sebaik mungkin serta jangan malas dan putus asa untuk terus berusaha. Dengan kegigihan dan sikap positif ini, pintu rezeki pasti terbuka. Dan usahlah memilih kerja, kerana yang penting kita