KUCHING: Petronas diyakini akan membayar cukai jualan (SST) terhadap produk petroleum yang digali di negeri ini dengan jumlah RM2.8 bilion bagi tahun 2019.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum membuat sebarang bayaran, Petronas perlu mengikut prosiding mahkamah termasuk menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

“Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Petronas untuk membayar SST 2019 berdasarkan hak yang dimiliki Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC) 1963.

“Susulan itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membentuk satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai sebahagian daripada langkah untuk merealisasikan pembayaran SST Petronas kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB semalam.

Berikutan itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menepis laporan sebuah portal berita berbahasa Inggeris apabila memberitahu Petronas akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 23 Jun ini.

Tegas Abang Johari, rayuan itu dibuat sebelum pertukaran Kerajaan Persekutuan yang masih di bawah Pakatan Harapan (PH), namun kini PN ingin isu SST diselesaikan segera dan meminta Petronas menggugurkan rayuan terbabit.

“Petronas telah membuat rayuan berkenaan ketika masih di bawah PH tetapi PN mengarahkan agar Petronas mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

“Sehubungan itu, kita menubuhkan Jawatankuasa Kerja di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk berbincang dengan Petronas dan Kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan kuasa eksekutif,” jelasnya.

Tambahnya, di bawah kuasa undang-undang pula, Jawatankuasa Perunding ditubuhkan kerana Sarawak ingin terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri ini.

“Di bawah Jawatankuasa Perunding pula, satu lagi jawatankuasa dibentuk iaitu Jawatankuasa Perundingan Dun yang diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah untuk berunding dengan Petronas mengenai pembayaran SST produk petroleum di Sarawak.

“Ini dilakukan kerana Petronas kini sanggup membayar SST 2019 dan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching,” ujarnya.