KUCHING: Empat lelaki warga tempatan ditahan setelah mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah hasil serbuan polis di sebuah bilik tidak bernombor, Batu 12, Jalan Kuching- Serian, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek ditangkap hasil serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dan Dadah (BSJND) Padawan di lokasi sekitar jam 10 malam.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap masing-masing berusia 31, 37, 38 dan 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan awal berjaya menemui dua peket plastik kecil berwarna biru berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.64 gram di dalam bilik serbuan.

“Keempat-empat suspek yang ditahan disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, kesemua suspek bersama barangan kes dibawa ke lokap balai polis Siburan untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, hasil soal siasat mendapati kesemua suspek mengaku mula menghisap dadah pada tahun 2016 dan 2017 namun tidak pernah menjalankan aktiviti penjualan barang terbabit.

Tambahnya, suspek turut mengaku kali terakhir menjalani aktiviti penyalahgunaan dadah pada hari mereka ditangkap.

Aidil menegaskan jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau dikenakan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.