KUCHING: Jawatankuasa Pasukan Petugas akan diwujudkan bagi meneliti pengurusan industri minyak dan gas di Sarawak, kata Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, persetujuan dicapai oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mencari penyelesaian bagi kedua-dua belah pihak.

“Ia sudah pasti berkaitan aktiviti minyak dan gas di negeri ini dan salah salah satu daripadanya ialah isu cukai jualan dan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, persetujuan dicapai apabila Petronas menarik balik rayuan dan bersetuju membayar cukai jualan tersebut terutama bagi tahun 2019,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui di kediamannya, kelmarin.

Beliau mendedahkan, kedua-kedua kepimpinan tersebut sudah bersetuju bahawa Jawatankuasa Pasukan Petugas akan diwujudkan bagi menguruskan hal tersebut.

“Ia akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan saya sendiri.

“Sarawak sudah menamakan ahli bagi mewakili pasukan negeri ini diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Penasihat UndangUndang Negeri Datuk Seri JC Fong, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Pegawai Eksekutif Petros sendiri,” jelasnya.

Tambahnya, pada 17 Jun ini mereka mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa itu bagi membincangkan pembentukan dan terma-terma berkaitan.

“Pertemuan itu bagi membincangkan bidang kuasa, skop yang balak diberi tumpuan dan adakah kita perlu mewujudkan kumpulan teknikal bagi memperincikan isu-isu berkaitan.

“Bagaimanapun, matlamat utama pasukan itu ditubuhkan bagi melihat bagaimana hala tuju Petronas dan Sarawak dalam menentukan pengurusan industri petroleum itu.

“Ini termasuk penglibatan rakyat Sarawak dalam industri minyak dan gas seperti peluang perniagaan.

“Atau penglibatan secara terus sama ada pelaburan dalam syarikat berkenaan atau sebarang sektor membabitkan industri minyak dan gas,” tegasnya.