BINTULU: Tragedi kebakaran rumah panjang selalunya memberi kesan buruk kerana lazimnya melibatkan lebih satu isi rumah.

Menyedari akan hal tersebut, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip menyarankan komuniti rumah panjang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam meningkatkan tahap keselamatan di kediaman masingmasing.

Katanya, melalui jalinan kerjasama itu, komuniti rumah panjang berpeluang menimba pengetahuan mengenai usaha pencegahan kebakaran dan kepentingan menjaga peralatan pemadam api agar dapat digunakan pada waktu kecemasan. Beliau juga berharap JBPM membuat pemeriksaan berkala dari segi aspek keselamatan pendawaian elektrik, penyediaan pili bomba dan kemudahan alat pemadam api di rumah panjang.

“Ini termasuk memberi latihan asas kepada penduduk untuk mengawal dan mencegah kebakaran,” katanya semasa melawat mangsa kebakaran di Rumah Eloh Jugah, Kampung Banyai, Sungai Segan, kelmarin.

Adun Jepak itu turut berterima kasih kepada kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jepak atas bantuan kilat yang diberikan kepada mangsa sejurus menerima makluman mengenai insiden kebakaran tersebut. Rombongan Talib turut disertai isterinya, Datin Dr. Zaliha Abdullah menyerahkan sumbangan tunai berjumlah RM3,000 daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati) kepada Tuai Rumah Eloh. Dalam insiden jam 2 petang Khamis lalu.

Seramai 135 penghuni Rumah Panjang Eloh Jugah, Kampung Banyai, Sungai Segan, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang 24 pintu setingkat berstruktur tidak kekal itu musnah terbakar. Pada masa ini, mangsa mendirikan khemah sementara di kawasan lapang berdekatan rumah panjang mereka yang terbakar.