LUBOK ANTU: Dua anak-beranak termasuk ibu, 39, dan anak lelakinya berusia empat tahun maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di KM8 Jalan Lubok Antu-Engkelili, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi terbabas sendiri sekitar jam 9.40 pagi di lokasi.

Menurutnya, pemandu dikenali sebagai Nagie Ali yang bekerja sebagai guru, dan anaknya, Kingston Bidok Philip maut di tempat kejadian manakala seorang lagi anak perempuannya, sembilan tahun, cuma mengalami kecederaan ringan.

“Kemalangan berlaku ketika kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Lubok Antu menghala ke Engkelili sebelum terbabas sendiri dan melanggar pokok kelapa sawit di sebelah kanan jalan menghala ke Engkelili.

“Akibat kejadian pemandu kenderaan dan seorang penumpang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang hanya mengalami cedera ringan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri.

Susulan itu, katanya, kenderaan terbabit ditahan bagi pemeriksaan pihak Puspakom untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.