LIMBANG: Persoalan warga Limbang mengenai jalan alternatif menghubungkan kawasan Limbang dan Miri tanpa melalui negara Brunei akhirnya terjawab setelah mendapat penjelasan daripada Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, semalam.

Menurutnya, pembinaan jalan alternatif tersebut sedang rancak dilakukan yang bermula dari Bawang Obor, Mentawai, Gunung Buda hingga ke Gunung Mulu sejauh 225 kilometer (km). Kata Hasbi, projek Kerajaan Sarawak itu sudah dimulakan tahun lepas dan pada masa ini memasuki fasa pertama yang menghubungkan Bawang Obor ke Tanah Merah di Hulu Medamit hingga ke Gunung Buda.

“Jalan ini akan menjadi laluan utama menghubungkan daerah ini ke Marudi dan Baram, Miri yang akan melintasi Gunung Buda dan Gunung Mulu tanpa melalui Brunei.

“Namun, laluan sejauh 30 km untuk menghubungkan Gunung Buda dan Gunung Mulu masih belum ada jalan setakat ini bagi menyambung keseluruhan jalan tersebut,” jelasnya. Beliau berkata semasa sidang media selepas taklimat dan mesyuarat projek-projek pembangunan di Bahagian Limbang Bersama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia di sini, kelmarin.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, semua wakil rakyat Limbang prihatin dengan masalah yang membelenggu masyarakat di kawasan utara Sarawak. Menurutnya, apabila jalan ini siap kelak, ia bukan sahaja meningkatkan lagi sektor pelancongan domestik, malahan menjadi akses utama rakyat untuk merentas negeri.

“Kita sedar dengan kepayahan yang dihadapi oleh penduduk Limbang kerana kedudukan kita yang unik dan tersepit di tengah-tengah negara Brunei. “Jalan ini antara penyelesaian jangka panjang yang memudahkan pergerakan rakyat pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi penyelesaian jangka pendek pula, Hasbi berkata, Sarawak pada masa ini sedang berbincang dengan negara Brunei berhubung isu rentas sempadan. “Pada masa ini, Residen Limbang diminta menyenaraikan beberapa keperluan untuk merentas sempadan selain membawa masuk barang keperluan, kemudahan melintas sempadan dipermudahkan lagi,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap rakyat di sini mematuhi undang-undang dan peraturan negara jiran dan merancang perjalanan mereka.