KETIKA dunia masih berhadapan ancaman Covid-19, usaha pencarian vaksin terus dipergiatkan untuk menangani virus misteri ini. Malah kita di Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu dan diikuti PKP Bersyarat.

Dalam tempoh ini juga tanggungjawab terletak dalam tangan semua masyarakat, dan bukan terletak pada petugas barisan hadapan semata-mata. Syukur, segala apa yang telah kita lakukan selama ini membuahkan hasil, dengan kes semakin menurun hari demi hari.

Namun dengan keadaan yang agak pulih dan pembukaan semula semua sektor ekonomi, bukan alasan untuk kita tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Selagi vaksin belum ditemui, maka selagi itulah kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga sesama kita.

Awas! Covid-19 belum lagi lenyap. Malah masyarakat perlu lebih bertanggungjawab terhadap setiap tindakan yang dilakukan demi keselamatan dan kesihatan semua pihak. Pengalaman sepanjang PKP dan PKPB tentunya telah mengajar kita untuk lebih matang dan bersabar ketika menghadapi cabaran dan rintangan.

Ini belum lagi sekolah dibuka semula untuk kelas peperiksaan awam pada 24 Jun ini. Setiap pelajar mesti peka terhadap had batasan dan SOP yang perlu dipatuhi sepanjang berada di sekolah. Pelajar tidak boleh sambil lewa, dan pastikan keselamatan diri sendiri sentiasa terjaga sepanjang masa.

Begitu juga dengan rakan-rakan, para guru mahupun keluarga. Ini meliputi tahap SOP memasuki sekolah, semasa sesi pembelajaran dan selepas sesi persekolahan. Oleh itu, pendidikan dan nasihat berterusan daripada ibu bapa dan guru amatlah penting.

Ibu bapa tidak boleh mengambil ringan kerana ia akan menentukan tahap disiplin anak-anak dan ia boleh mempengaruhi pelajar lain. Sekiranya tiada kerjasama daripada pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar itu sendiri, maka mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga tahun hadapan untuk menduduki peperiksaan.

“Bak kata pepetah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga”. Sebelum sekolah ini dibuka secara berperingkat-peringkat kepada kelas lain, dalam tempoh inilah ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenai kebersihan dan pemakaian pelitup muka setiap kali keluar rumah. Ingat, sekarang ini semua kita berada di barisan hadapan.

Selagi virus ini tidak ditemui vaksin atau penyembuhnya selagi itulah keselamatan kita belum terjamin. Maka bersama-samalah kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab demi keselamatam bersama.

Sebagai warga Sarawak kita perlu bersyukur kerana Kerajaan Sarawak terus komited memerangi wabak ini. Jangan persiasiakan usaha barisan hadapan kita, termasuk para pemimpin yang sentiasa mengambil berat terhadap apa yang kita alami sejak 18 Mac lalu. Segala bentuk bantuan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung wajar dihargai.