KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki cedera parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar lari sebuah lori dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Samarahan, di sini, hari ini.

Difahamkan, insiden berlaku sekitar jam 1 petang ketika mangsa berusia 43 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha SRX berwarna biru melalui bulatan berhampiran pusat beli-belah Summer Mall.

Susulan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, mangsa berasal dari Kampung Gersik itu kini koma dan sedang menerima rawatan kecemasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HUS.

Menurutnya, pihak keluarga mangsa menerima maklum tentang kejadian kira-kira jam 3 petang.

“Kami mohon kerjasama sesiapa yang ada menyaksikan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat agar siasatan dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Laporan berhubung kejadian itu juga telah dibuat di Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

HANCUR… Motosikal ditunggangi mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang kenderaan