KUCHING: Aktiviti ziarah pusara di Sarawak dibenarkan semasa dan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

Menurut kenyataan Bahagian Kemajuan Institusi Masjid, Jabatan Agama Islam Sarawak, garis panduan yang dikeluarkan untuk negeri ini selaras dengan ketetapan semasa Majlis Islam Sarawak (MIS).

Antaranya, semua aktiviti ziarah pusara dibenarkan di semua tanah perkuburan Islam di seluruh negeri Sarawak.

Bagaimanapun, sepanjang aktiviti ziarah, mana-mana individu yang hadir hendaklah membuat kawalan kendiri seperti menjaga penjarakan sosial (satu meter); menggunakan pelitup muka dan hidung; sentiasa mencuci tangan menggunakan pensanitasi tangan; mengambil berat aspek kebersihan semasa berada tapak pusara; dan tidak bersalaman semasa berada tapak pusara.

Selain tu, tempoh ziarah satu pusara hendaklah tidak lebihi 20 minit.

Ziarah di satu pusara hendaklah tidak lebih lima waris atau keluarga terdekat sahaja, dan disaran membuat penggiliran sekiranya lebih daripada lima orang.

Di samping itu, dalam keadaan tapak pusara terlalu sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dipatuhi, dinasihatkan agar mereka yang baharu tiba menunggu sehingga mana-mana keluarga yang telah berada awal untuk beredar terlebih dahulu.

Tanah pusara boleh dibuka untuk aktiviti ziarah mulai jam 7 pagi hingga 5 petang kecuali untuk urusan pengebumian jenazah dan urusan berkaitan seperti kebersihan, penyelenggaraan dan pemasangan nisan dan napor.

Dalam hal berkaitan, MIS boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada mana-mana individu gagal mematuhi arahan ini.

MIS juga boleh mengubah atau meminda garis panduan ini dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

Pihak mereka menegaskan bahawa, garis panduan itu berkuat kuasa bermula semalam (15 Jun) sehingga satu tarikh yang akan diputuskan kelak.