SINGAPURA: Grab akan menghentikan lebih kurang 360 kakitangan atau hanya di bawah lima peratus daripada jumlah pekerja, kata Ketua Pegawai Eksekutif Anthony Tan.

Bagaimanapun, pengasas bersama itu yakin Grab merupakan syarikat terakhir yang melaksanakan pembuangan pekerja secara besar-besaran pada tahun ini.

“Sejak Februari, kami termasuk perniagaan di seluruh dunia telah terjejas akibat Covid-19,” kata Tan dalam satu nota kepada kakitangan syarikat itu, semalam.

Pada masa yang sama, Tan berkata sudah jelas sekarang, bahawa pandemik itu mungkin akan mengakibatkan kemelesetan yang berpanjangan dan Grab perlu bersedia bagi tempoh pemulihan yang agak lama.

“Sejak beberapa bulan lepas, kami telah menyemak semua kos, mengurangkan perbelanjaan dan melaksanakan potongan gaji ke atas pengurusan kanan.

“Bagaimanapun, kami menyedari kami masih perlu membuat langkah jimat cermat bagi menangani cabaran-cabaran ekonomi pasca-pandemik,” kata Tan.

Untuk mencapai matlamat ini, Grab menghentikan beberapa projek bukan teras, menggabungkan beberapa fungsi bagi kecekapan yang lebih besar dan membentuk semula pasukan agar ia lebih sesuai dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah berdasarkan kepada persekitaran luaran.

“Kami juga akan memperkukuhkan perkhidmatan penghantaran kami dan menugaskan sebahagian besar kakitangan untuk memenuhi permintaan penghantaran yang semakin meningkat.

“Kami mampu menyelamatkan seberapa banyak pekerjaan melalui langkah ini dan membantu mengehadkan skop pengurangan pekerja kepada hanya di bawah lima peratus.

Tan percaya jika pelan ini memenuhi sasaran, Grab tidak perlu lagi melaksanakan langkah pengurangan kakitangan.

“Lembaga Pengarah dan peneraju kami turut berasa optimis dengan unjuran perniagaan kami.

“Kami akan fokus kepada perniagaan teras kami seperti panggilan tunggangan, penghantaran, pembayaran dan perkhidmatan kewangan bagi menangani cabaran dan peluang dalam normal baharu,” katanya.

Pada masa yang sama, firma itu akan memperluaskan sokongan untuk perniagaan kecil dengan memperkayakan tawaran perkhidmatan saudagarnya.

“Kami percaya langkah ini akan mengukuhkan kami dalam perjalanan ke arah kemampanan,” katanya.