PADAWAN: Tiga lelaki ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kesemua mereka ditahan di parkir kereta Taman Malihah, Matang petang semalam.

Katanya pemeriksaan ke atas seorang daripada suspek berusia 28 tahun menjumpai beberapa bungkusan mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.05 gram dan pil eramin 5 seberat 2.94 gram, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM300.

“Hasil daripada saringan awal air kencing ke atas suspek didapati positif syabu.

“Soal siasat suspek mengaku mula terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2015,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek akan dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Aidil berkata dua lagi suspek yang berusia 25 dan 27 tahun turut ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu.

“Kedua-dua suspek juga mengaku mula terlibat dengan penagihan dadah pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata sabit kesalahan mereka akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Aidil menambah ketiga-tiga suspek kini ditahan dalam lokap untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Justeru beliau menyeru agar masyarakat berkerjasama dalam menghapuskan kegiatan penyalahgunaan dadah, dengan menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.