PADAWAN: Seorang penganggur ditangkap setelah memukul seorang rakannya menggunakan kunci pendua rim motosikal.

Suspek berusia 23 tahun dari Kampung Haji Baki itu ditahan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Padawan di sebuah rumah di Jalan Batu Kitang di sini, lebih kurang jam 2 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, tangkapan ke atas suspek dibuat selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Sentosa sejurus selepas kejadian pada Isnin lalu.

Katanya kejadian berlaku apabila mangsa, 25, yang merupakan buruh binaan dari Kampung Jangkar, Lundu hendak mengambil topi keledar milik sepupunya di Lorong 16, Kampung Haji Baki.

“Tiba-tiba suspek yang juga kawan mangsa dikenali bernama Wan telah memukul mangsa menggunakan senjata besi kunci rim di kedua-dua tangannya.

“Ekoran kejadian, mangsa mengalami kecederaan di jari hantu sebelah kanan dan tangan sebelah kiri terseliuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil menambah punca kejadian adalah disebabkan oleh tindakan serta sikap mangsa yang kurang ajar semasa mengambil semula topi keledar di luar rumah suspek.

“Suspek mengaku memukul mangsa menggunakan senjata besi pengunci pendua rim motosikal,” katanya.

Beliau berkata suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah akan direman hari ini.