KUCHING: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak sentiasa
melipatgandakan usaha bagi membanteras aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras namun aktiviti ini sukar dihentikan secara menyeluruh disebabkan pemintaan yang masih tinggi atas faktor harga jualan.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata tangkapan terbaharu melibatkan satu kegiatan penyeludupan rokok di Pelabuhan Bintulu, yang mengunakan sebuah kapal dari Pelabuhan Klang.

Katanya kes direkodkan pada 12 Jun lalu lebih kurang jam 11.30 malam apabila sepasukan anggota
penguatkuasaan JKDM Bintulu telah membuat penggeledahan ke atas sebuah kapal kontena yang tiba di Pelabuhan Bintulu.

“Sebelum penggeledahan dijalankan, kapten kapal telah menyerahkan satu set manifes masuk bagi 237 kontena yang akan di daratkan di Pelabuhan Bintulu.

“Satu set ‘Cargo Loading Plan’ telah diserahkan atas permintaan ketua serbuan.

“Semakan ke atas dokumen berkenaan mendapati sebanyak 129 kontena tidak diikrar dalam daftar manifes masuk termasuk tujuh kontena yang disyaki mengandungi rokok putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah pada 13 Jun, kesemua tujuh kontena yang disyaki mengandungi rokok putih itu telah diarahkan untuk didaratkan di Pelabuhan Bintulu untuk pemeriksaan.

Katanya pemeriksaan kemudian mendapati kesemua kontena itu mengandungi rokok putih pelbagai jenama yang
dipercayai tidak lulus Kastam.

“Jumlah rampasan adalah sebanyak 70,960,000 batang rokok dengan nilai dianggarkan RM6.3 juta manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan bernilai RM47.4 juta,” katanya.

Menurut Sharifah, modus operandi yang digunakan ialah rokok-rokok berkenaan diangkut mengunakan kapal komersial bagi tujuan dihantar ke destinasi tertentu melalui Pelabuhan Bintulu.

“Bagi mengelakkan aktiviti dikesan, dagangan telah diikrar dalam manifes masuk sebagai ‘general cargo’ dan syarikat pengimport adalah syarikat agen perkapalan berdaftar,” katanya.

Beliau berkaga kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat perakuan tidak betul di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihibtujuh tahun atau kedua-dua sekali.

Sharifah berkata siasatan juga dibuat di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 di mana jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman selaras Seksyen 19 Akta Zon Bebas 1990.

Justeru, beliau menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam http://aduan.customs.gov.my atau menghubungi mana-mana pejabat kastam yang berhampiran.

Katanya JKDM memberi jaminan akan melindungi identiti setiap pemberi maklumat.

Kontena-kontena yang mengandungi rokok haram dirampas daripada sebuah kapal di Pelabuhan Bintulu.