PADAWAN: Seorang penjual sate cedera selepas disamun tiga lelaki yang dikenalinya kerana dituduh memberi maklumat kepada polis berkaitan kegiatan dadah mereka.

Mangsa, Mohd Rabis Sabri, 29, dari Kampung Sandong turut kehilangan kereta Perodua Viva dan seunit telefon bimbit jenama Huawei.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Sueprintendan Aidil Bolhassan, kejadian dilaporkan berlaku di kawasan perumahan baharu berdekatan Kampung Stapok, Jalan Batu Kawa sekitar jam 3 pagi semalam.

“Semasa mangsa sampai di sana untuk berjumpa kawan, tiba-tiba dia telah ditahan oleh beberapa orang lelaki dikenalinya dengan nama Hafiz, Shukri dan Ijat.

“Kemudian mereka telah menumbuk dan memukul mangsa menggunakan kayu hingga menyebabkannya mengalami kecederaan di bibir dan dahi serta di bahagian lutut akibat dilibas menggunakan kayu hoki dan parang.

Ketiga-tiga suspek ditangkap selepas menyamun seorang penjual sate di kawasan perumahan baharu berdekatan Kampung Stapok, Jalan Batu Kawa.

“Suspek turut mengambil telefon bimbit, merosakkan dan melarikan kereta milik mangsa, yang di dalamnya ada dokumen pernikahannya.

“Temu bual awal mendapati punca kejadian adalah kerana suspek telah menuduh mangsa sebagai pemberi maklumat berkaitan kegiatan dadah suspek kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Batu Kawa lebih kurang jam 8.20 pagi semalam, Aidil berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Padawan dan dibantu oleh Taskforce IPD Padawan telah menangkap ketiga-tiga suspek di lokasi berasingan semalam.

Katanya ketiga-tiga suspek dikenali sebagai Mohd Idzuan Shukrie, 23, dari Kampung Segedup, Mohd Aizat, 25, dari Lot 994 Lorong Piala 4 Taman Sukma Jalan Sultan Tengah dan Mohd Afis, 27, yang beralamat di Blok F Ibu Pejabat Briged Sarawak.

Aidil menambah Mohd Aizat yang merupakan penganggur mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan Mohd Afis yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata kesemua barang milik mangsa juga sudah dijumpai dan dirampas, yang diletakkan di sebuah rumah di Lorong 7 Kampung Segedup, Batu Kawa.