KUCHING: Sebanyak 1,280,800 batang rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM965,976 termasuk cukai dirampas dalam serbuan Op Libas ke atas sebuah rumah di Taman Greenwood, Jalan Penrissen hari ini.

Menurut Komander Briged Sarawak PGA, SAC Mancha Ata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA bersama dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak lebih kurang jam 1.30 petang.

“Hasil pemeriksaan dan serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan disyaki sebagai pemilik premis.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Unser turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman RM100,000 atau 10 kali ganda nilai duti atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara, Mancha berkata sepanjang Jun ini, Briged Sarawak PGA telah merekodkan empat siri kejayaan rampasan minuman keras dan rokok melibatkan penahanan seramai tiga lelaki tempatan, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3.4 juta.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh Unit Risik Briged Sarawak PGA dalam usaha untuk mengumpul maklumat perisikan dan melaksanakan tangkapan serta rampasan secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok.