PADAWAN: Mayat seorang warga emas ditemui di dalam parit tepi rumahnya Kampung Haji Baki di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, mayat lelaki itu ditemui oleh orang awam yang kemudian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, lebih kurang jam 10.40 pagi tadi.

“Pemeriksaan mendapati mangsa telah terjatuh ke dalam parit di tepi simpang masuk rumahnya.

“Hasil perbualan kakak mangsa memberitahu kali terakhir mangsa duduk di tepi parit berkenaan pada lebih kurang jam 11 pagi semalam dalam keadaan mabuk.

“Namun sehingga pagi tadi baru ahli keluarganya mendapati mangsa telah meninggal dunia di dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil menambah pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan atau unsur-unsur jenayah di atas kematiannya.

Katanya berdasarkan maklumat ahli keluargan, mangsa adalah seorang peminum arak yang tegar dan sering membuat kacau apabila mabuk.

“Ahli keluarga mangsa tidak mahu mayatnya dibedah siasat memandangkan kematiannya tiada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.