PADAWAN: Seorang lelaki bertindak menyerang kakaknya kerana merosakkan tanaman jiran.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kejadian berlaku lebih kurang jam 12.30 tengah hari semalam ketika wanita berusia 35 tahun itu berada di dalam bilik tidur bersama anak perempuannya di rumah mereka di Batu 9, Matang.

Akibat kejadian, katanya mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengalami cedera lebam di tangan kiri, belakang badan, paha serta bengkak di atas kepala dan berdarah.

Katanya mangsa telah mendapatkan rawatan Hospital Umum Sarawak dan ditahan selama satu malam di wad.

“Suspek secara tiba-tiba datang dan menerajang pintu bilik tidur mangsa sambil membawa sebatang rotan dan kemudian terus menyerang mangsa menggunakan sebatang kayu.

“Punca kejadian kerana suspek berasa malu dan ingin mengajar mangsa kerana telah merosakkan tanaman jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Aidil berkata pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan telah menahan suspek yang berusia 28 tahun di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Telaga Air lebih kurang jam 10.45 malam semalam.

Katanya suspek yang merupakan penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau mengaku ada bertengkar dan memukul mangsa menggunakan batang rotan.

Beliau menambah suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sebatang rotan yang digunakan suspek untuk menyerang kakaknya.