BAU: Seorang ejen loteri haram dicekup ketika sedang beroperasi di sebuah kedai makan di Jalan Tondong, di sini.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata lelaki berusia 23 tahun dari Kampung Stass itu ditahan dalam Op Dadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau lebih kurang jam 5.30 petang semalam.

“Suspek ditahan kerana disyaki terlibat di dalam aktiviti perjudian loteri awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah turut dirampas daripada suspek ialah seunit telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM180.

Katanya suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan mengikut Seksyen 4(A)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Suspek ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan loteri haram di sebuah kedai makan di Jalan Tondong, Bau.