KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditangkap kerana memiliki selaras senapang patah disyaki buatan sendiri, selepas balik memburu di kawasan ladang sawit di Raso, Lundu.

Turut dirampas daripada suspek berusia 35 tahun itu ialah lima butir peluru penabur 12 bore, sebilang parang dan sebuah motosikal.

Komander PGA Briged Sarawak Mancha Ata berkata suspek ditahan oleh sepasukan PGA Briged Sarawak semasa menjalankan Operasi Benteng di kawasan ladang sawit berkenaan lebih kurang jam 9.30 malam semalam.

“Lelaki berkenaan telah ditahan ketika sedang keluar dari jalan ladang di sebuah ladang sawit di Raso, Lundu kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Senjata Api 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang lelaki ditahan selepas memburu di kawasan ladang sawit di Raso, Lundu kerana memiliki senapang patah disyaki buatan sendiri.

Beliau menambah kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan dan siasatan selanjutnya, di mana sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes berasingan, Mancha berkata PGA Briged Sarawak hari ini telah menahan dua lelaki warga Indonesia di Biawak, Lundu lebih kurang jam 7 pagi kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka disyaki cuba menyusup keluar ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya kes diserahkan kepada IPD Lundu untuk untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Manakala dalam Operasi Libas, Mancha berkata Unit Risik Batalion 10 PGA Sibu hari ini telah berjaya menemui 1,250 karton rokok kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai termasuk cukai RM158,424 di sebuah jeti lama di Durin, Sibu.

Katanya rampasan dibuat sekitar jam 9.15 pagi hasil intipan kerana lokasi berkenaan disyaki digunakan untuk kegiatan transit barang-barang seludup sebelum diedarkan ke kawasan Kapit dan sekitarnya menggunakan laluan sungai.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pasukan serbuan.

“Rampasan telah dibuat ke atas rokok terbabit kerana disyaki diseludup mengikut kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967.

Mancha berkata barang rampasan telah diserahkan kepada IPD Sibu untuk tindakan selanjutnya.