KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggotanya, yang terlibat dengan apa juga kegiatan jenayah termasuklah sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya mengambil pendekatan tegas berhubung perkara berkenaan, demi menjaga imej pasukan keselamatan itu yang bertanggungjawab memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara, terpelihara.

“ATM bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, untuk sebarang tindakan lanjut ke atas mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini, yang melakukan penahanan 18 penguatkuasa melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ATM, susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin pada 4 Jun lepas.

“ATM juga ingin mengesahkan bahawa dua pegawai serta tiga anggota ATM, disyaki terlibat seludup pendatang tanpa izin 4 Jun lepas,” katanya.

Beliau berkata, penahanan anggota ATM terlibat berkenaan menunjukkan keberkesanan Op Benteng, di bawah pengawasan National Task Force (NTF).

Sebelum ini, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, seramai 371 orang ditahan dalam tempoh empat hari bagi fasa ketiga Op COVID-19 Benteng, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 hingga 7 Jun lepas.

— BERNAMA