KUCHING: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 telah mengubah platform perniagaan para usahawan di Sarawak daripada amalan konvensional kepada pemasaran digital.

Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Abdul Hadi Abdul Kadir berkata perkembangan ini amat membanggakan pihaknya, sekali gus mencapai hasrat kerajaan untuk para usahawan tempatan mengembangkan perniagaan secara dalam talian.

“Sekarang pemasaran digital, e-dagang tidak dapat dielakkan lagi… mungkin pencetus utamanya ialah pandemik Covid-19 melanda kita.

“Hikmah daripadanya ialah ia menjadi satu pencetus kepada kreativiti, inovasi dan membuka minda para usahawan kita untuk lebih berani berniaga secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program JOM DIGITAL @ Sarawak Produktif siri ketiga anjuran Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman dan Pejabat Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak, semalam.

Menurut Abdul Hadi, sebelum ini pelbagai usaha, program serta kesedaran telah diberikan kepada para usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan secara digital namun ia tidak mendapat penerimaan yang baik daripada mereka.

Jelas beliau, ia mungkin disebabkan ketidakyakinan sesetengah usahawan terhadap platform berkenaan. Bagaimanapun, katanya apabila Covid-19 melanda negara dan terlaksananya PKP, para usahawan dengan sendirinya mencari jalan keluar dengan memanfaatkan platform digital.

“Jadi kita sendiri merasai berkembangan ini berlaku dalam sekelip mata. Malah masyarakat kita sendiri banyak membuat pembelian, baik makanan, minuman daripada peniaga dalam talian yang tumbuh seperti cendawan semasa PKP.

Kami di SEDC amat bangga dengan perkembangan ini kerana ramai yang beralih kepada jualan dalam talian. Malah ada yang menggunakan Sarawak Pay sekali gus mendokong inisiatif kerajaan,” katanya.