KUCHING: Dua warga Indonesia yang didapati positif Covid-19 kini hilang, dipercayai melarikan diri.

Ini disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi, sambil menambah polis sedang giat mengesan mereka.

Beliau berkata lelaki dan wanita terbabit telah membuat saringan Covid-19 pada 16 Jun lalu sebagai syarat mereka bekerja di tapak pembinaan.

“Keputusan ujian yang keluar pada 17 Jun telah mendapati mereka positif dan pada hari sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera mengesan mereka di tempat tinggal tetapi telah tiada,” katanya.

Aidi menambah tindakan mengesan mereka telah pun bermula malam tadi di beberapa tempat termasuk rumah-rumah kongsi beberapa projek di sekitar Kuching tetapi gagal ditemui.

Usaha mengesan masih diteruskan hari ini dan setakat ini, mereka masih belum dijumpai.