BAU: Dua lelaki warga tempatan masing-masing ditemui membawa dadah jenis syabu ditangkap polis di tepi bangunan Maybank, bandar Bau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, tangkapan berasingan hasil dua operasi di lokasi sama oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Bau dilakukan sekitar jam 12.13 tengah hari dan 4.30 petang.

Menurutnya, tindakan mencurigakan kedua-dua suspek akhirnya terhidu setelah mereka didapati menyimpan dadah jenis syabu di dalam poket pakaian hasil pemeriksaan dilakukan pihak serbuan.

“Tangkapan pertama melibatkan seorang pemandu lori berusia 34 tahun bersama dadah jenis syabu seberat 0.28 gram di dalam poket seluarnya.

“Suspek kedua, 30, ditahan dan hasil pemeriksaan menjumpai sepeket plastik kecil lutsinar berisi bahan kristal jernih yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.99 gram di dalam poket baju sebelah kiri,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk diberi tindakan lanjut.

Jelas beliau, ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Dedahnya, semakan rekod polis bagaimanapun mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Tegasnya, kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dilakukan hari ini.