BAU: Dua lagi premis dikenakan kompaun RM1,000 setelah didapati ingkar Standard Operasi Prosedur (SOP) semasa menjalani perniagaan di daerah Bau, semalam.

Difahamkan, lokasi serbuan dan pemantauan itu dilakukan oleh pasukan pemantau di Rave Kopitiam Lot 1455 No 21 Grd floor Siniawan Centre dan Block 10 SPLD Centre.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, tindakan kompaun dikenakan terhadap kedua-dua penjaga premis hasil gerakan pemantauan dilakukan sekitar jam 3.45 hingga 4 petang.

Menurutnya, pasukan penguatkuasa pemantau terdiri daripada anggota pasukan bersama Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga RELA.

“Hasil pemantauan mendapati kedua-dua premis tidak mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu penjarakan sosial, tiada buku catatan suhu dan nama pelanggan keluar masuk premis, tiada alat pengesan suhu serta tidak dibekalkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pelanggan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, dua individu yang mengaku sebagai penjaga premis masing-masing berusia 27 dan 59 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bau untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, kedua-dua suspek telah mengakui kesalahan di bawah peraturan 3 (Jadual Aktiviti Terlarang) iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.10) 2020 dan bersetuju untuk diberi tindakan kompaun.

Tambahnya, semakan rekod polis turut mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.

Tegas beliau, kes disiasat di bawah kesalahan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.10) Peraturan 2020.

Ujarnya, tawaran Kompaun terhadap kedua-dua penjaga premis itu dikenakan selama 14 Hari berkerja sehingga 2 Julai 2020.

. RM1,000… kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk dikenakan kompaun RM1,000