MIRI: Lima lelaki yang bertindak memukul seorang lelaki dengan alasan mangsa bersubahat kes curi motosikal ditangkap polis di Kampung Sealine Lutong dan bandar Miri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pihaknya berjaya menjejak dan memberkas suspek sekitar jam 6.30 petang dan 8 malam di lokasi berkenaan.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku semasa mangsa bersama seorang lagi rakannya baru pulang mencari pucuk paku di Kuala Baram pada 17 Jun sebelum motosikal yang dinaiki mereka ditahan suspek.

“Kelima-lima suspek berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun itu dikatakan bertindak menahan lalu memukul mangsa menggunakan kayu sehingga mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan.

“Akibat daripada kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Miri untuk diberi rawatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan oleh mangsa dituduh telah bersubahat mencuri motosikal.

Susulan itu, katanya, kelima-lima suspek kini ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Miri untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek yang ditahan telah dikenakan reman hari ini.