BAU: Peniaga dan pemilik kedai makan di Pekan Siniawan mengakui cukup terkesan dengan pandemik Covid-19 hingga menjejaskan perniagaan mereka hingga kini.

Bagi Sim Chow Tiong, 48, yang merupakan penjual sosej Taiwan, lebih lima tahun berniaga di pekan tersebut, dia cukup terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerana dia mengalami kerugian lebih RM9,000.

“Pada hari-hari biasa sebelum Covid-19 ini, saya memperoleh pendapatan lebih RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Selepas kedai tidak dibenarkan dibuka, kami mula mengalami kerugian,” katanya kepada Suara Sarawak.

“Mujur bekalan bahan mentah yang telah saya tempah dari Semenanjung sempat disimpan sebelum PKP lagi.

“Bekalan ini dapat membantu saya, namun kini saya hanya risau jika bekalan untuk bulan seterusnya yang mungkin mengalami kelewatan penghantaran,” katanya.

Walaupun gerai dapat dibuka kelak, dia tetap ragu-ragu dan perlu meneliti setiap prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan demi keselamatan semua.

“Saya bersyukur kerana Kerajaan Sarawak menyediakan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membantu peniaga yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Joseph Chai, 80, yang mewarisi perniagaan kedai makan Sin Lian Ho daripada ayahnya lebih 40 tahun lalu turut terkesan dengan Covid-19 kerana dia hanya mampu berada di rumah dalam tempoh tersebut dan tidak dapat menjana apa-apa pendapatan.

“Saya tidak tahu nak buka atau tidak kedai makan ini nanti sebab kita tidak tahu ramai atau tidak pengunjung akan datang ke pekan ini.

“Ini kerana kita tahu ramai yang takut untuk keluar rumah,” katanya.

Walaupun demikian, dia tetap bersedia dengan setiap SOP yang akan dikeluarkan oleh pihak kerajaan jika operasi pasar malam dibenarkan dibuka.

Namun perkara yang paling meruntun jiwanya ialah tidak dapat memperoleh apa-apa rezeki untuk tempoh tiga bulan disebabkan Covid-19.

Dengan nada sedih, dia mengakui mengambil inisiatif sendiri iaitu menggunakan Facebook untuk mempromosi kedai makannya kepada orang ramai.

Sementara itu, Daphne Vun, 35, yang mengusahakan kedai kopi Chop Thong Seng di salah sebuah kedai di pekan berkenaan turut mengalami nasib sama, namun dia mengambil inisiatif menjual kuih (belajar dari Youtube) dan mula berkebun secara serius untuk menyara keluarganya.

“Dalam sebulan saya mampu memperoleh lebih RM2,000.

Namun ekoran Covid-19, saya mengalami kerugian lebih 50 peratus, walaupun saya buka kedai makan ini menggunakan kaedah bungkus dan bawa pulang.

“Sekiranya berpeluang menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda di kawasan Bau ini, saya pasti akan gunakannya, namun ia tetap bergantung kepada permintaan,” katanya.

Paling penting tegasnya lagi, dia mahu meneliti dengan lebih terperinci setiap SOP yang bakal dikeluarkan kelak.

“Ini penting bagi menentukan tahap keselamatan semua pihak apabila pasar malam dibenarkan dibuka semula kelak,” tambahnya lagi.