BEIJING: Sebuah pesawat terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas seorang penumpang yang mabuk memecah tingkap pesawat ketika dalam penerbangan.

Penumpang wanita yang di kenali sebagai Li, 29, itu dikatakan dilanda masalah emosi selepas putus hubungan dengan teman lelakinya.

Semasa dalam penerbangan tersebut dia minum minuman keras dan mabuk, biarpun krew pesawat dan penumpang lain cuba memujuk, menenang dan menahannya dia menumbuk tingkap pesawat milik Syarikat Penerbangan Loong berkali-kali sehingga gelas itu retak.

Video menunjukkan Li menangis di tempat duduknya sambil dipujuk krew dan penumpang menjadi tular di media sosial. Pesawat tersebut sepatutnya mendarat ke kota Yancheng tetapi  terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Zhengzhou, selepas Li memecahkan tingkap.

Menurut polis Li yang kecewa selepas berpisah dengan teman lelakinya minum air ‘baijiu’ sebelum menaiki pesawat. Sebaik sahaja tiba di Zhengzhou, Li ditahan dua anggota polis yang menunggu kedatangannya.