KUCHING: Semua muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Sarawak (JMS) akan dibuka semula kepada orang ramai dengan prosedur operasi standard (SOP) bermula Rabu.

Menerusi kenyataan JMS, pelawat berumur 13 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan masuk. Tambahnya lagi, kanak-Kanak di bawah umur 12 tahun perlu ditemani oleh penjaga masing-masing.

“Bagi muzium di Bahagian Kuching iaitu Muzium Sejarah Semulajadi, Muzium lslam Sarawak, Muzium Sejarah Cina dan Muzium Tekstil Sarawak waktu operasi adalah dari jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang pada Isnin hingga Jumaat.

“Untuk Sabtu, Ahad dan cuti umum, waktu operasi adalah dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang,” jelasnya. Sementara itu, waktu operasi bagi Muzium Wilayah iaitu Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice) dan Muzium Wilayah Limbang, adalah Selasa hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Untuk Muzium Petroleum Miri, Muzium Arkeologi Niah dan Muzium Wilayah Baram telah ditutup sementara untuk proses baik pulih dan penyelenggaraan. JMS memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama membantu dalam menyekat penularan wabak Covid-19 ini.